2019.08.09 UCTC Menang Anugerah Bitara UKM

 

 

Oleh Amsahanim Amir (PKK UKM)
Foto Shahiddan Saidi (PKK UKM)

BANGI, 9 Ogos 2019 – Pusat Transformasi Komuniti Univeristi (UCTC) telah dianugerahkan Anugerah Bitara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) 2019 bagi penilalain tahun 2018.

UCTC dipilih menerima anugerah itu di atas pencapaian terbaik mereka dalam mengendalikan program-program besar melibatkan belia dan komuniti di peringkat nasional dan antarabagsa.

Pengarah UCTC, Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata, kejayan itu adalah hasil kerja keras semua kakitangan yang telah mengendalikan 59 projek, melibatkan projek-projek kecil sehinggalah ke peringkat ASEAN.

“UCTC telah menjana kira-kira RM4.5 juta setahun dalam melaksanakan projek-projek tersebut. Ini bukan funding universiti, tetapi kami yang mencari sendiri bagi memastikan semua projek yang telah dirancang dapat dilaksanakan dengan sempurna.

“UCTC bukanlah sebuah PTJ (Pusat tanggungjawab) yang besar. Kami hanya mempunyai tujuh staf tetap dan sembilan staf kontrak. Alhamdulillah, kerjasama yang diberikan oleh semua staf membolehkan kami bergerak bersama dan mencapai kejayaan ini,” katanya selepas Majlis Anugerah Bitara UKM 2019 di Persada Canselori baru-baru ini.

Daripada 59 projek yang dijalankan itu, 11 projek besar telah dilaksanakan dengan jayanya.

Projek-projek tersebut adalah UKM-Pondok Bantan, Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic Pos Gob, 360° Kampung Angkat Seberang Takir, 360° Kampung Angkat Pulau Manis, CIMB Young ASEAN Leaders, Sekolah@UKM, ASEAN Youth Volunteer Programme, Maxis eKelas, UKM4Bangi-Anjung Santai Kipmall, 360° Kampung Angkat Sungai Buah dan Pusat Pendidikan Komuniti Orang Asli Negeri Perak-Samsung Smart Community Centre.

Prof Datuk Dr Rokiah berkata, semua projek yang dijalankan itu bukanlah projek one off sebaliknya ia adalah projek berterusan.

“Dalam melaksanakan projek ini, kami tidak bersendirian, tetapi kami turut dibantu oleh PTJ-PTJ lain termasuklah fakulti di UKM,” jelasnya.

Sementara itu, Pengerusi UKM, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkata, beliau percaya penganjuran Majlis Anugerah Bitara itu menjadi salah satu medan terbaik bagi mengiktiraf dan menzahirkan penghargaan Universiti kepada warga UKM yang telah mencurahkan idea, komitmen dan sentiasa memberikan yang terbaik bagi memastikan UKM sentiasa relevan di persada kebangsaan dan antarabangsa yang bergerak atas asas kerja yang berkualiti dan berimpak.

“Kita perlu memastikan semua lapisan warga UKM dapat mengembleng pelbagai kepakaran yang ada secara bersama dalam usaha mencapai matlamat Pelan Strategi UKM 2019 – 2021 yang mempunyai lima teras utama iaitu akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, penjanaan dan bakat,” katanya sewaktu menyampaikan ucapan.

Penganugerahan Anugerah Bitara diberikan kepada staf UKM dan PTJ dengan mengambil kira pencapaian prestasi berkualiti yang berfokuskan kepada lima teras dalam House of Quality iaitu akademik, penyelidikan, pengantarabangsaan, penjanaan dan penyerlahan bakat. Pada kali ini, 15 kategori anugerah telah dipertandingkan.

Beberapa anugerah yang menang di peringkat UKM pada kali ini akan diangkat untuk dicalonkan ke peringkat negara, antaranya untuk pencalonan Anugerah Akademik Negara (AAN).