2019.02.25 UKM – CIMB Islamic bantu 16 orang anak orang asli ke sekolah

 

 

25 Feb 2019 – Usaha Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Kementerian Pendidikan Malaysia, CIMB Islamic dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) di Pos Gob, Gua Musang, Kelantan akhirnya membuahkan hasil sejak Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic dilancarkan pada 20 Mei 2017.

Seramai 14 orang murid telah memulakan persekolahan di Sekolah Kebangsaan Kuala Betis manakala 2 orang murid lagi di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra I selepas mereka memutuskan untuk menyambung pendidikan di sekolah kebangsaan. Kesemua mereka ini dibawa oleh Universiti Kebangsaan Malaysia dan Selangor Rescue Adventure Team pada 25 Februari 2019 menaiki 9 buah pacuan empat roda dari Kampung Gob ke Gua Musang yang memakan masa 8 jam.

Projek ini telah mendapat sokongan CIMB Islamic mulai Jun 2016 dengan memfokuskan permasalahan keciciran pendidikan di kalangan Anak Orang Asli. Melalui pemerhatian dan kajian yang telah dijalankan, didapati hampir 90% kanak- kanak di tahap umur persekolahan di Pos Gob tidak bersekolah. Melalui temubual yang dijalankan, antara alasan yang disuarakan ialah jarak tempat tinggal ke sekolah terhampir yang jauh dan tiada pengangkutan yang sesuai untuk ulang- alik menggunakan jalan balak yang sering rosak.

Ketika awal tinjauan UKM ke Pos Gob pada Jun 2016, rata- rata ibubapa menyatakan mereka tidak bersedia untuk melepaskan anak- anak seawal 7 tahun untuk tinggal di asrama. ‘Tragedi Tohoi’ yang telah menggemparkan negara pada tahun 2015 menambahkan lagi kebimbangan ibubapa.

Projek holistik antara UKM dan CIMB Islamic ini mensasarkan misi membawa sekolah kepada anakanak Orang Asli di Pos Gob. Objektif utama yang ditetapkan ialah mengembalikan kemahuan dan semangat anak-anak untuk bersekolah. Selain itu, penubuhan Pusat Pendidikan Komuniti UKM – CIMB Islamic Pos Gob ini juga memfokuskan aspek kesihatan dan sosioekonomi bagi manfaat komuniti Orang Asli secara keseluruhan.

Usaha UKM dalam membantu pendidikan di Pos Gob disambut baik oleh komuniti di mana mereka telah membina sebuah bangunan menggunakan bahan-bahan hutan. Antara kunci kejayaan kepada usaha ini ialah keyakinan UKM melantik 8 orang belia di Pos Gob sebagai tenaga pengajar manakala satu jawatankuasa pemegang amanah telah ditubuhkan bagi mengawalselia perjalanan Pusat Pendidikan Komuniti tersebut.

Prof. Datuk Dr. Rokiah Binti Omar, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UKM berkata Pusat Pendidikan Komuniti ini telah berjaya menterjemahkan “from zero to hero”
seterusnya dapat mengubah perspektif dan taraf hidup komuniti Orang Asli di Pos Gob, Gua Musang.