2019.08.26 AYVP Malaysia 2019: Bantu Masyarakat Orang Asli Basmi Kemiskinan Melalui Pendidikan

Oleh Asmahanim Amir (PKK UKM)
Foto Ikhwan Hashim (PKK UKM)

GUA MUSANG, 19 Ogos 2019 – Sukarelawan Belia ASEAN yang menyertai Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) Malaysia 2019 teruja dengan tugasan yang mereka jalankan sepanjang program bersama komuniti Orang Asli Pos Gob.

Peserta dari Brunei, Nur Diyana Nasriah Suhaili, 26, berkata, beliau tidak sabar untuk bersama masyarakat Orang Asli dalam membantu membasmi kemiskinan melalui keusahawanan.

“Saya sertai AYVP kerana saya mahu meningkatkan pengetahuan kesukarelawanan saya dalam membantu masyarakat yang kurang bernasib baik. Melalui program ini, kami akan belajar tentang kepelbagaian budaya, dan ini penting kepada kita untuk mempromosikan belia ASEAN selain dapat menyatukan belia yang mampu membasmi kemiskinan di semua negara ASEAN.

“Saya berharap agar semua belia yang menyertai program ini tidak hanya menjadi sukarelawan semasa program ini sahaja, tetapi menyumbang kepada negara masing-masing dan meneruskan kelestarian program ini di negara mereka,” katanya.

Peserta dari Indonesia, Grace Gunawan, 24, berkata, itu adalah pertama kali beliau menyertai AYVP dan bersedia membawa balik segala pengalaman yang diperoleh sepanjang berada di kampung Orang Asli.

“Saya berharap apabila saya pulang ke Indonesia, saya akan gunakan segala ilmu yang saya dapat di sini dalam membantu masyarakat di Indonesia yang berada dalam kemiskinan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Komuniti (UCTC) UKM, Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata, keistimewaan AYVP tahun ini adalah ia melibatkan sukarelawan dengan komuniti Orang Asli yang berada jauh di pedalaman Negeri Kelantan.

“Fokus kita adalah kepada pendidikan kanak-kanak Orang Asli selain memberi tumpuan kepada alam sekitar dan kemudahan asas melalui aktiviti edu tourism.

“Ini adalah keistimewaan yang kita berikan kepada komuniti (Orang Asli) untuk belajar dan merasai pengalaman menerima tetamu supaya mereka dapat menjalankan aktiviti pelancongan untuk meningkatkan pendapatan mereka kerana di kawasan itu (Pos Gob) ada terlalu banyak aset sumber alam seperti air terjun, sungai flora dan fauna dan sebagainya yang boleh mereka gunakan untuk tambah pendapatan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran konvoi program di perkarangan Sekolah Menengah Sains (SMS) Gua Musang, di sini hari ini.

Katanya, program AYVP itu adalah salah satu cara mengajar dan mendidik masyarakat Orang Asli untuk menerima tetamu dan menguruskan rumah inap melalui aktiviti edu-tourism.

Beliau berkata, masyarakat Orang Asli Pos Gob telah membina 19 buah rumah inap dengan bantuan dana yang UKM perolehi daripada sumbangan CIMB Islamic.

“Kita berharap dengan adanya pendedahan ini, masyarakat orang asli dan peserta AYVP sama-sama dapat belajar bagaimana untuk menghargai alam sekitar kerana kita perlu menjaganya demi masa depan.

“Kita cuba melaksanakannya supaya menjadi lestari (alam sekitar), jadi kita cuba menggunakan teknologi-teknologi yang ada seperti solar panel untuk pusat penyelidikan yang kita jayakan di situ. Kita juga masih dalam proses untuk berbincang dengan pelbagai agensi kerajaan dan swasta untuk menambah tambah baik kemudahan yang ada kerana di sana tiada bekalan elektrik, bekalan air pula terus dari sungai,” terangnya.

Beliau juga berharap supaya para peserta akan memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang berguna sepanjang program tersebut dan dapat melaksanakan projek-projek komuniti selepas kembali ke negara masing-masing.

Prof Datuk Dr Rokiah turut berterima kasih kepada kira-kira 200 kakitangan agensi kerajaan dan swasta yang menjayakan program tersebut termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA)a, Jabatan Kesihatan dan lain-lain.

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang AYVP di Pos Gob adalah asset mapping, bangunkan projek pakej edu-tourism, jungle tracking, ASEAN Cultural Night, Malam Anugerah Pelajar Cemerlang daripada Pusat Pendidikan Komuniti UKM-CIMB Islamic.