2019.08.20 200 Kakitangan Pelbagai Agensi dan NGO Bantu Jayakan AYVP Malaysia 2019 di Pos Gob

Oleh Asmahanim Amir (PKK UKM)
Foto Ikhwan Hashim (PKK UKM)

GUA MUSANG, 20 Ogos 2019 – Kira-kira 200 kakitangan agensi kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan RAT 4×4 adalah antara yang terlibat dalam menjayakan Program Sukarelawan Belia ASEAN (AYVP) Malaysia 2019 di Pos Gob, Kelantan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gua Musang, DSP Sik Choon Foo berkata, PDRM menghantar satu platun ke Pos Gob untuk membantu pihak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dari segi keselamatan belia ASEAN.

“Perjalan dari Gua Musang ke Pos Gob adalah kira-kira 90 kilometer (km) akan mengambil masa yang lama berdasarkan bentuk muka bumi dan keadaan cuaca yang tidak menentu sekarang ini.

“Saya percaya para pemandu (pacuan empat roda) terdiri daripada mereka yang berpengalaman dan dengan keadaan jalan yang mencabar ini, mereka dapat mengawal kenderaan dengan baik dan saya berharap agar perjalan pergi dan pulang mereka lancar,” katanya.

Beliau turut memberitahu, bahawa program itu adalah julung kali diadakan di Pos Gob dengan membawa belia-belia dari seluruh negara ASEAN.

Sementara itu, Penguasa Bomba Pangkalan Udara JBPM Bertam, Pulau Pinang, Muhammad Muiz Mat Pisar berkata, pasukannya yang terlibat terdiri daripada 11 orang krew iaitu enam anak kapal dengan sokongan daripada bahagian kejuruteraan dan kawalan darat.

“Pasukan kami telah melakukan tujuh penerbangan awal pada 14 dan 15 Ogos ke Pos Gob bagi membawa kira-kira tiga tan muatan barang-barang untuk digunakan sepanjang program tersebut.

“Sepanjang program ini, pihak JBPM telah ditugaskan untuk standby jika ada sebarang medical case. Dua pasukan yang standby adalah dari Pangkalan Udara JBPM Subang dan Pangkalan Udara JBPM Bertam. Jika ada kes, kita akan buat penerbagan ke Pos Gob untuk membawa mangsa ke hospital terdekat,” katanya.

AYVP adalah acara tahunan yang menghimpunkan seramai 50 belia ASEAN yang berumur antara 18 hingga 30 tahun dari 10 buah negara ASEAN.